Jawab segera surat tawaran haji

KUALA LUMPUR 26 April – Lembaga Tabung Haji (TH) mengeluarkan 14,306 surat tawaran haji hari ini yang memerlukan bakal jemaah yang terpilih memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata disebabkan kesuntukan masa, TH memohon kerjasama bakal jemaah haji untuk menjawab sama ada setuju atau tidak bersetuju dengan tawaran itu, dalam tempoh berkenaan.

“Bakal jemaah haji boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat naik aplikasi ThiJARI bagi menyemak serta menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saleh berkata semua bakal jemaah haji juga diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperoleh visa haji sebagaimana ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Bakal jemaah haji terpilih perlu mendapatkan buku rekod rawatan di mana-mana cawangan TH berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan serta mendapat suntikan meningococcal quadrivalent vaccine ACYW-135 yang boleh dilakukan di hospital kerajaan ataupun di klinik yang diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bakal jemaah haji juga perlu melengkapkan dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya dan menambah bakal jemaah haji juga digalakkan mengambil suntikan imunisasi pilihan iaitu influenza dan pneumokokal seperti disyorkan KKM.

Menurutnya setelah selesai pemeriksaan kesihatan, bakal jemaah haji diminta menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH berhampiran.

Maklumat lanjut, layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) dengan menelefon 03-62071919.

Related posts

Leave a Comment