KUALA LUMPUR 7 Mac – Sebanyak 5,187 permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sudah dikeluarkan keputusannya oleh kerajaan dalam tempoh setahun.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata jumlah permohonan itu dikeluarkan bagi tempoh Disember 2022 hingga Disember tahun lalu.
Katanya , jumlah itu susulan kerajaan menambahbaik prosedur dengan memendekkan tempoh proses permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) daripada setahun kepada tiga bulan sejak 2020 lalu.
“Di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula, tempohnya adalah lapan bulan berbanding tiga hingga lima tahun sebelum ini.
“Permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang sama di seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah diambil untuk meningkatkan SOP dalam permohonan kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution berkata, KDN sentiasa komited dan bersedia menambah baik dan membuat pembaharuan SOP proses pertimbangan permohonan kewarganegaraan mengikut perkembangan semasa selaras dengan keperluan.
