Tiga Senator angkat sumpah jawatan

KUALA LUMPUR 5 Mac – Tiga Ahli Dewan Negara, dua dari Sabah dan seorang dari Sarawak mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Mutang Tagal hari ini.

Mereka ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Sabah,  Bobbey Ah Fang Suan; Ketua Penerangan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Anna Bell @ Suzieana Perian dan bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak, Pele Peter Tinggom.

Anna Bell dan Pele adalah lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini hingga 4 Mac 2027, manakala Bobbey adalah lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bermula hari ini hingga 4 Januari 2027.

Semua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Mutang ketika berucap mengalu-alukan pelantikan ketiga-tiga Ahli Dewan Negara itu mengingatkan agar institusi senat Dewan Negara dimartabatkan sebagai badan legislatif tertinggi negara dan melontarkan idea, pandangan serta cadangan yang benar-benar bebas daripada pengaruh peribadi dan politik dalam memutuskan sesuatu rang undang-undang atau usul.

Beliau juga menekankan kepentingan agar setiap Ahli Dewan sentiasa membuat persediaan kajian awal yang komprehensif dalam mempertimbang dan berbahas serta menjalin hubungan erat dengan media dan berkongsi input perbahasan di dalam Dewan Negara untuk hebahan luas menerusi media cetak dan elektronik.

“Gunakan juga platform media sosial peribadi masing-masing secara aktif agar dapat mencapai liputan yang luas dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat yang aktif dalam dunia siber,” katanya.

Related posts

Leave a Comment