KOTA KINABALU 5 Mac – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan kadar zakat fitrah sebanyak RM7.50 bagi tahun ini berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di negeri itu.
Yang Dipertuanya, Yahya Hussin, berkata MUIS menyasarkan RM156,725,000.00 bagi keseluruhan kutipan zakat sepanjang Ramadan kali ini yang membabitkan RM11,725,000 untuk pungutan zakat fitrah manakala RM145 juta bagi zakat harta.
“Jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Sabah pada tahun lalu adalah sebanyak RM145,302,446.72 membabitkan zakat fitrah sebanyak RM11,251,061.26 manakala zakat harta, RM134,051,385.46.
“Jumlah pembayar zakat fitrah untuk tahun sama adalah seramai 1,607,201 orang, meningkat 46,587 orang pembayar atau 2.99 peratus berbanding 1,560,614 orang pada tahun 2022 lalu,” katanya pada sidang media khas Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, bagi agihan zakat pada tahun lalu, MUIS berjaya membuat agihan kepada asnaf sebanyak RM140,953,600.96 untuk 110,459 asnaf manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu mula diagih pada awal tahun ini.
Menurut Yahya, MUIS menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada empat golongan asnaf termasuk asnaf amil yang memerlukan di Sabah bagi bulan Ramadan tahun ini.
Sebanyak RM18.1 juta akan diagihkan kepada 12,409 Asnaf Fakir, 31,268 Asnaf Miskin dan Asnaf Mualaf seramai 3,402 orang, manakala RM1.5 juta akan diagihkan kepada 2,200 wakil amil sebagai upah amil bertugas.
