PUTRAJAYA 17 Feb. – Banyak pihak yang keliru berhubung pengumuman Kerajaan memperkenalkan kategori tunggal beras putih tempatan dan import yang diberi nama Beras Putih Malaysia Madani.
Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin berkata, ia susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang semalam.
Katanya, pada 14 Februari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mengumumkan Kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani, kategori tunggal beras putih tempatan dan import.
Syed Abu Hussin berkata, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri.
Berdasarkan pengumuman tersebut, harga siling baharu bagi beras putih adalah masing-masing RM30, RM15.50 dan RM3.50 bagi kampit 10, 5 dan 1 kilogram (kg) dan berkuatkuasa pada Isnin ini, 19 Februari 2024.
Harga siling sedia ada bagi beras tempatan untuk 10kg, 5kg dan 1kg ialah masing-masing RM26.00, RM13.00 dan RM2.60.
Bagaimanapun Perdana Menteri semalam menyatakan bahawa harga kawalan beras akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu hadapan di mana Syed Abu Hussin adalah Pengerusi, Task Force (Kluster Makanan), NACCOL.
Kenyataan Anwar pula disokong Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hari ini melalui satu kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman Syed Abu Hussin.
Mengulas lanjut Radzi berkata, tadbir urus kerajaan dilanggar sesuka hati apabila pada 16 Februari 2024, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lokman Hakim Ali berkata, harga beras putih tempatan sebagai bahan makanan terkawal perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum sebarang keputusan diumumkan.
“Korang nampak tak betapa bercelarunya proses pembuatan dasar kerajaan. Mana satu yang betul sebenarnya? Ini bukan kali pertama kluk klek sebegini. Di luar sana, pihak industri tertanya-tanya, apa sebenarnya hendak dilaksanakan oleh kerajaan.
Dah lebih setahun kita dok pusing roundabout macam ni,” kata Radzi.
Nnnn
