SEPANG 17 Feb. – Perikatan Nasional (PN) menyarankan kerajaan mengguna pakai draf RUU 355 yang disiapkan sebelum ini agar proses penggubalan tidak bermula daripada peringkat awal lebih-lebih lagi ia melibatkan pihak berkepentingan yang sama.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary berkata, draf RUU 355 ini telah dibentang kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Kali ke-27 pada 11 hingga 12 Oktober 2021 serta telah melalui segala proses penggubalan mengikut tertib yang sepatutnya.
Katanya, draf RUU 355 yang ada sebelum ini juga telah disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober 2022 dan sepatutnya sudah sedia untuk dibawa ke Parlimen pada bila-bila masa.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu yang dipertanggungjawab untuk membantu usaha-usaha memperkasa Mahkamah Syariah sebelum ini, mengesahkan isu bidang kuasa Mahkamah Syariah telah dikaji secara komprehensif.
“Draf RUU 355 juga telah disiapkan dengan sempurna walaupun dalam keadaan negara diuji dengan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau seterusnya berkata, jika Kerajaan Perpaduan serius mahu memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah, beliau mencadangkan Kerajaan terus mengguna pakai draf RUU 355 yang sudah disiapkan sebelum ini.
“Soalan saya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekarang, Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, di manakah sebenarnya draft RUU 355 itu sekarang dan apakah kerajaan akan meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh Pas sebelum ini?,” katanya.
Beliau mendakwa, sehingga ke hari ini, belum ada tanda-tanda daripada Kerajaan berhubung komitmen mereka untuk membentangkan RUU 355 ini di Parlimen.
“Justeru, saya menyeru UMNO agar memainkan peranan yang serius untuk mengangkat agenda ini, atau akan terus dilihat rakyat sebagai lemah dan hanya mengikut telunjuk DAP dalam gabungan kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini,” katanya.
Nnnn
