Norlizah digugur, Aznan Exco baharu Johor

JOHOR BAHRU 13 Feb. –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor dalam penstrukturan semula portfolio bagi tahun 2024 hingga 2027.

Beliau menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh yang digugurkan sebagai Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri.

Istiadat Pelantikan Exco Kerajaan Johor yang baharu itu berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata pelantikan dan penstukturan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Patik juga menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan dan penstrukturan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri serta berangkat ke Istiadat Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor yang baharu hari ini.

Tahniah kepada Aznan yang mengangkat sumpah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor. Semoga apa yang dititahkan kepada beliau dapat dilaksana dan digalas dengan baik.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri, Norlizah atas segala khidmat dan bakti yang dicurahkan kepada negeri dan bangsa Johor.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu negeri ke arah lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, selain pengguguran Norlizah, portfolio yang dipegangnya ditambah dengan portfolio Pelancongan.

Ia menjadikan portfolio Menteri Besar merangkumi Exco Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Negeri.

Empat Exco yang kekal adalah ADUN Buloh Kasap,  Zahari Sarip ( Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri), ADUN Bukit Permai, Mohd Jafni Md Shukor ( Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri), ADUN Semerah, Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam Negeri) dan ADUN Serom, Khairin Nisa Ismail (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri).

Bagi lima Exco yang berubah portfolio adalah ADUN Tenggaroh, K Raven Kumar (Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri), ADUN Larkin, Mohd Hairi Md Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri) dan ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri).

Turut berubah ADUN Paloh, Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri) dan ADUN Bukit Pasir, Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri).

“Insya-Allah, saya bersama barisan Excoini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment