Peningkatan harga simen dan besi

PUTRAJAYA 13 Feb. – Indeks harga seunit bagi bahan seperti besi dan simen bagi kebanyakkan kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan pada Januari lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata Indeks harga seunit besi merekodkan peningkatan antara 0.4 hingga 3.3 peratus bagi kebanyakan kawasan dan tertinggi dilaporkan di Perak dengan 3.3 peratus.

Ini diikuti oleh Pahang dengan 0.8 peratus dan masing-masing 0.6 peratus di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Kuching.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, harga seunit simen pula mencatatkan sedikit peningkatan antara 0.7 hingga 12 peratus bagi tempoh Januari 2023 hingga Januari lalu di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Katanya , purata harga seunit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 ‘high tensile deformed bars’ adalah RM3,664.51 bagi setiap tan dengan peningkatan iaitu satu peratus berbanding bulan sebelumnya RM3,629.77 per tan.

Beliau berkata, perbandingan bulanan mencatatkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada Januari lalu.

Sedikit peningkatan dalam indeks harga simen bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis masing-masing dengan 0.8 peratus dan Terengganu serta Kelantan (0.5 peratus).

“Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit simen dicatatkan bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan 12 peratus, diikuti Terengganu dan Kelantan masing-masing 11.8 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, beberapa bahan binaan seperti papan lapis, bahan kerja paip dan cat tidak mencatatkan sebarang perubahan.

Indeks harga seunit keratan keluli dan logam kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, manakala terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (-0.8 peratus), Johor (-0.3 peratus), Kota Kinabalu (-0.1 peratus) dan Sandakan (-2.2 peratus).

“Selain itu, terdapat peningkatan kecil direkodkan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Perak dengan 0.9 peratus dan Kuching (0.2 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata, laporan global meramalkan bijih besi mempunyai permulaan yang baik untuk tahun ini dengan kenaikan harga dan import yang kukuh oleh China.

Nnn

Related posts

Leave a Comment