KUALA LUMPUR 17 Jan. – “Setiap masa akan teringat (peristiwa Op Daulat)… ketika melangkah di Balairung Seri (Istana Negara), menghadap Agong… saya masih terkenang peristiwa itu,” kata Deputi Superintendan Mohamad Hasnal Jamil
Wira Op Daulat itu hadir di Istana Negara untuk menerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pegawai polis itu yang cedera ditembak dan ditetak pengganas Sulu dalam Op Daulat di Kampung Simunul, Semporna di Sabah pada Mac 2013, adalah penerima tunggal PGB sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.
“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) juga tadi (ketika majlis santapan) sempat menzahirkan ucapan terima kasih atas jasa, sumbangan dan pengorbanan saya dan rakan-rakan yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
“Pada saya, sumbangan saya ini bukanlah besar dan ramai lagi telah berjuang dan berkorban untuk negara, namun pengiktirafan ini menjadi satu kenangan untuk sumbangan kecil saya kepada negara,” katanya selepas istiadat itu hari ini.
Mohamad Hasnal dilihat menahan sebak apabila menceritakan kembali kejadian yang hampir meragut nyawanya, apabila tiga tembakan terkena bahagian perut hingga tembus ke belakang badan dan lengan kirinya.
Selain ditembak, Mohamad Hasnal yang berasal dari Kedah itu turut ditetak di kepala dan tangan dengan kapak oleh musuh.
“Sehingga kini, saya masih mendapatkan rawatan susulan untuk membetulkan saraf pada bahagian tangan yang tercedera, namun ini sedikit pun tidak memberi trauma atau melunturkan semangat untuk terus berkhidmat atau menjalankan tugas.
“Saya anggap ini hanya liku-liku pekerjaan sebagai anggota polis, kalau tidak menempuh cabaran seperti ini bukanlah polis namanya,” kata.
Beliau turut berpesan kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk sentiasa bersedia dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan amanah.
“Jangan pernah khianati amanah ini, jika tiba panggilan perjuangan untuk negara… kita sahut dan pergilah berjuang,” katanya.
Malaysia dikejutkan dengan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat pada Februari 2013 di Felda Sahabat, Lahad Datu, yang membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Kampung Simunul, Semporna yang turut mengorbankan 68 pengganas Sulu.
Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013, dengan enam anggota polis terkorban dalam peristiwa berdarah pada 2 Mac 2013 di Kampung Simunul.
(Foto Jabatan Penerangan)
