HLISB tawar pembiayaan umrah patuh syariah

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Hong Leong Islamic Bank (HLISB) bersedia menawarkan kemudahan pembiayaan bagi menunaikan umrah melalui kerjasama strategik dengan Andalusia Travel & Tours (Andalusia) yang ditandatangani hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, melalui perkongsian itu, pelanggan Andalusia boleh memohon pembiayaan mudah, digital dan patuh syariah daripada HLISB.

Dafinah berkata, sebagai sebahagian daripada kerjasama, HLISB akan menawarkan Akaun Pay & Save-i dan Pembiayaan Peribadi-i kepada semua yang ingin menunaikan ibadah umrah.

“HLISB akan melengkapkan pakej umrah Andalusia dengan rangkaian produk perbankan Islam yang komprehensif, sejajar dengan komitmennya untuk menegakkan nilai Islam dalam sistem perbankan dan memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan Muslim yang pelbagai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara HLISB dan Andalusia di Menara Hong Leong di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengerusi HLISB,  Dr Md Hamzah Md Kassim; Pengarah Andalusia, lda Riswana ldris, dan Pengerusi Andalusia, Md Daud Che Ngah.

Menjelaskan lebih lanjut, Dafinah berkata, pembiayaan peribadi-i HLISB menawarkan pembiayaan patuh Syariah kepada pelanggan yang disertakan dengan rebat untung ‘Bayar Tepat Masa’ sebanyak 60 peratus dan pin tambah nilai e-dompet Touch n Go RM50 dengan setiap permohonan yang berjaya.

Katanya, akaun Pay & Save-i juga menyediakan keuntungan sehingga 4.15 peratus setahun di atas baki akaun.

Akaun itu, katanya mempunyai ciri mata wang pelbagai, yang membolehkan perbelanjaan mata wang asing dengan Kad Debit HLB, mengeluarkan mata wang asing daripada ATM luar negara dan penukaran terus ringgit kepada mata wang asing pada kadar yang kompetitif melalui HLB Connect.

“Kerjasama dengan Andalusia menandakan satu langkah penting ke arah menyampaikan nilai tambah kepada pelanggan. Ia dapat menangani keperluan pelanggan secara aktif, memperkasakan umat lslam untuk menunaikan kewajipan agama dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, lda Riswana, berkata sepanjang 25 tahun yang lalu, jumlah jemaah umrah dari Malaysia meningkat sebanyak 900 peratus.

Beliau berkata, ia mencerminkan pertumbuhan yang ketara dalam minat menunaikan ibadah umrah apatah lagi Malaysia diberi pelbagai keistimewaan oleh kerajaan Arab Saudi.

Justeru, katanya, kerjasama yang terjalin dengan HLISB boleh mendatangkan faedah kepada semua pihak dengan memanfatkan pangkalan pelanggannya yang besar.

“Kerjasama dengan HLISB ini memastikan pelanggan kami mendapat akses kepada pembiayaan ibadah umrah yang patuh Syariah, digital dan berpatutan dengan rangkaian dan perkhidmatan kewangan yang holistik.

“Kami percaya ini akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat Islam untuk mengurus kewangan dengan berkesan dalam era digital hari ini, sambil menunaikan kewajipan agama dengan asas kewangan patuh Syariah,” katanya.

Dalam pada itu, Andalusia menyasarkan seramai 80,000 orang bakal menunaikan umrah setahun pada musim umrah 1446 Hijrah.

Katanya, dalam mengharungi cabaran kelembapan ekonomi, Andalusia optimis bahawa permintaan dari umat Islam untuk mengerjakan ibadah umrah tetap tidak berkurang dan ramai di antaranya mengerjakan ibadah ini berulang-ulang kali.

“ Kolaborasi hari ini di antara HLISB dan Andalusia sangat tepat pada waktunya di mana umat Islam boleh mendapatkan cara yang memudahkan mereka untuk mencapai objektif mereka mengerjakan ibadah umrah dan haji.

“Kami yakin pembiayaan berdasarkan Murabahah Tawarruq ini adalah berlandaskan kepada hukum maqosid Syariah dan diharuskan oleh syara’ bagi membolehkan seramai mungkin umat Islam menunaikan fardhu haji dan umrah,” katanya.

Nnnn

CAPTION:

Dari kiri Md Daud Che Ngah, Ida Riswana Idris, Dafinah Ahmed Hilmi dan Dr Md Hamzah Md Kassim pada majlis menandatangani MoU antara Hong Leong Islamic Bank dan Andalusia Travel & Tour di Menara Hong Leong, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment