PRN Sabah 29 Nov. libatkan kos RM116.8 juta

KOTA KINABALU 16 Okt . – Sebanyak RM116.8 juta diperuntukkan untuk melaksanakan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) yang dijadual pada 29 November depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ramlan Harun berkata jumlah itu termasuk untuk pelantikan seramai 33,002 petugas pilihan raya

Katanya, seramai 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan 196 Penolong RO dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya itu di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, SPR juga akan menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Tempoh kempen, katanya selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga pukul 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

Sebanyak 882 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi/saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi atau saluran. PRU DUN Sabah Ke-17 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM116.8 juta,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas SPR berhubung PRN17 Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha SPR, Shahril Idrus dan Pengarah SPR Sabah, Rohiman Rahia.

PRN17 Sabah diadakan berikutan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 6 Oktober lalu.

SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran itu daripada Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya juga pada 6 Oktober lalu.

PRN17 Sabah menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Pada sidang media itu, Ramlan mengumumkan tarikh penamaan calon pada 15 November, disusuli pengundian awal pada 25 November dan pengundian biasa pada 29 November, manakala writ pilihan raya dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada pilihan raya kali ini mengikut Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.

“Ia mengandungi mengandungi seramai 1,784,843 orang pemilih yang terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan, dan 12,729 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Daftar pemilih bagi PRU Dewan Undangan Sabah Ke-17 dijadualkan akan mula dijual pada 1 November 2025 (Sabtu).

“Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment