KUALA LUMPUR 15 Jan. – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan turut campur tangan dalam perbincangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya Israel tidak terlepas akibat kekejamannya terhadap rakyat Palestin.
Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata, sebagai negara yang berpihak kepada Konvensyen Genosid, Malaysia harus memberi komitmen bagi memastikan Israel bertanggungjawab di atas kekejaman yang dilakukan di Gaza.
Kerajaan juga perlu bersepakat dengan semua sekutu dalam ASEAN dan badan serantau lain untuk turut campur tangan atau menyokong hak rakyat Palestin dalam mendapatkan kedaulatan negara mereka.
“Pelanggaran hak asasi manusia serta penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin sejak berdekad lamanya ini sesuatu yang tidak boleh diterima dan tindakan Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ disokong oleh kerajaan.
Justeru, Suhakam juga menggesa kerajaan menimbang semula reservasi kepada Perkara 9 Konvensyen Genosid yang khususnya menekankan mengenai pencegahan dan hukuman jenayah,” katanya.
Afrika Selatan memulakan prosiding di ICJ bulan lalu, memohon mahkamah dunia itu menyiasat jenayah pembunuhan beramai-ramai didakwa dilakukan rejim Zionis di Gaza, termasuk memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.
Isnin lalu, dalam penghujahan setebal 84 muka surat kepada ICJ, Afrika Selatan menggesa hakim supaya memerintahkan Israel menggantung serta-merta operasi ketenteraannya di Gaza.
Afrika Selatan kini mendapat sokongan kira-kira 20 negara dan antara negara yang memberikan tentangan adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan Kanada.
Suhakam menjelaskan, selaras dengan komitmen untuk memupuk solidariti dalam kalangan institusi hak asasi manusia kebangsaan, Suhakam juga komited menyokong Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Afrika Selatan.
“Suhakam menggesa masyarakat antarabangsa untuk terus memberi sokongan kepada Afrika Selatan dan menggariskan kepentingan untuk memastikan keadilan, hak asasi manusia dan kebertanggungjawaban supaya isu ini akan menemui satu titik penyelesaian damai kepada konflik di rantau itu,”. katanya.
