PM: Biar Dewan Rakyat putuskan, bukan SD

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Isu peralihan pimpinan kerajaan terus menarik perhatian apabila seorang wakil rakyat PKR menyarankan sokongan terhadap seseorang perdana menteri harus ditentukan melalui undi percaya di Dewan Rakyat.

Hassan Abdul Karim (PH Pasir Gudang) berkata, sama ada Anwar Ibrahim sudah hilang sokongan majoriti sebagai perdana menteri hendaklah diputuskan di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat, bukannya berdasarkan akuan berkanun (SD).

Katanya, semua pihak perlu merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa perdana menteri hendaklah mengemukakan peletakan jawatan sekiranya dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan dakwaan seorang penulis blog, Raja Petra Kamaruddin bahawa pembangkang berjaya memperoleh kira-kira 120 SD bagi menjatuhkan pentadbiran Anwar.

SD untuk membuktikan sokongan majoriti pertama kali digunakan pada Februari 2020 oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri.

Muhyiddin kemudiannya menggunakan pendekatan yang sama pada November 2022 berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 ketika bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Seri Paduka sebaliknya menggesa supaya kerajaan campuran ditubuhkan, dengan diketuai oleh Anwar .

Bagaimanapun Bersatu dan Pas menolak manakala Anwar yang menerajui Pakatan Harapan kemudiannya bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk mentadbir negara.

Anwar kemudiannya membentangkan undi percaya di Parlimen pada 19 Disember 2022 melalui undian suara dan telah menang.

Baru-baru ini timbul dakwaan Langkah Dubai bagi menjatuhkan kerajaan malahan Pengarah Pilihan Raya Pas Muhammad Sanusi Md Noor dilaporkan berkata, bahawa PN sudah mempunyai SD yang mencukupi.

Kata Menteri Besar Kedah itu, pembangkang hanya menunggu masa, tanpa memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh.

Related posts

Leave a Comment