Kes Ebola meningkat

RWANDA – Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Congo (DR Congo) mengesahkan jumlah keseluruhan kes virus Ebola meningkat kepada 1,003 kes pada Ahad selepas jangkitan baharu direkodkan.

Kes yang disahkan termasuk 254 kematian sejak wabak berkenaan diisytiharkan pada 15 Mei, dengan kadar kematian sebanyak 25.3 peratus.

Menteri Kesihatan, Roger Kamba berkata, usaha membendung virus itu diteruskan di wilayah Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan, dengan pesakit yang pulih menunjukkan peningkatan, namun kadar pemantauan kontak rapat mencatatkan penurunan.

Sekurang-kurangnya 100 pesakit telah pulih manakala 365 lagi masih menjalani kuarantin atau menerima rawatan di hospital.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) sebelum ini memberi amaran bahawa wabak semasa berpotensi menjadi lebih buruk berbanding epidemik Afrika Barat pada 2014 hingga 2016 yang mengorbankan lebih 11,000 nyawa di Guinea, Liberia dan Sierra Leone sekiranya penularan tidak dapat dikawal.

Bagaimanapun, Kamba berkata, usaha komunikasi dengan komuniti, diagnosis dan pengurusan kes terus dipergiat bagi membendung penularan wabak itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment