Dakwaan 8 lagi akan sokong PM masih relevan

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjelaskan kenyataannya sebelum ini mengenai lapan Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih relevan.

Beliau mendakwa kumpulan itu sedang menunggu Sidang Dewan Rakyat yang bermula pada 26 Februari hingga 1 April depan.

“Tunggu dan lihat kerana Parlimen akan kembali bersidang pada 28 Februari dan ketika itu akan bermula. Kini mereka sedang menunggu dan melihat apa akan berlaku dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika program Jualan Termurah, Khidmat Demi Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sini hari ini.

Pada 11 Disember lalu, Syed Abu Hussin Hafiz mendakwa ada tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN dari beberapa negeri, bakal menyatakan sokongan kepada Anwar, namun pada sidang medianya itu, beliau enggan mendedahkan identiti mereka, sama ada daripada Pas atau Bersatu.

“Dulu, saya kata ada lima atau enam orang, (namun) sekarang ada tujuh atau lapan orang (bakal menyatakan sokongan kepada Anwar). Nama (mereka) saya tidak boleh maklumkan di sini. Tunggu dan lihat, bakal ada pengumuman mereka yang akan menyokong Kerajaan Madani,” katanya ketika itu.

Beliau pada sidang media itu turut mengesahkan sebahagian daripada mereka telah berhubung dengannya untuk menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sebelum ini, Syed Abu Hussin Hafiz menyertai empat lagi Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 dan pembentukan Kabinet diumumkan pada 2 Disember 2022.

Related posts

Leave a Comment