Saya akan lawan – Isham Jalil

SEPANG 6 Jan. – “Saya akan lawan”. Itu reaksi, Isham Jalil berhubung laporan Peguam Negara memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadapnya kerana menghina mahkamah, seterusnya memenjarakan atau mengenakan denda ke atas bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.

Melalui hantaran di Facebooknya, beliau berkata, mengikut laporan akhbar, pihak Peguam Negara telah menghantar permohonan ini secara ex-parte ke mahkamah.

“Pagi ini tiba-tiba keluar berita bahawa kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui Peguam Negara ingin memenjara saya atas kesalahan kononnya saya telah menghina mahkamah berkenaan kes Dato’ Sri Najib.

Saya akan lihat permohonan ex-parte mereka ini,” katanya.

Beliau mendakwa kerajaan Anwar sedang goyah dan goyang dan mungkin dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kuasa, pihak berkenaan akan tangkap dan penjara lebih ramai orang demi kepentingan politik mereka.

Terdahulu media melaporkan permohonan itu berikutan Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil didakwa mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan mahkamah dalam satu temu bual bertajuk ‘Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ yang disiarkan melalui laman Facebook ‘The Malaya Post’ pada 30 September tahun lalu.

Menurut Peguam Negara melalui permohonannya yang difailkan pada 28 Disember lalu, dalam temu bual berkenaan, Isham yang dinamakan sebagai responden didakwa telah mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan membabitkan Najib Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemohon (Peguam Negara) berkata, dalam temu bual itu, Isham didakwa mempertikaikan proses pendengaran permohonan penarikan diri (recusal) terhadap Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang menghakimi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut Peguam Negara, responden antara lain memberikan ulasan secara tersurat dan/atau tersirat yang didakwa membawa maksud bahawa hakim bertindak secara berat sebelah dalam memutuskan permohonan berkenan.

“Selain itu, responden juga mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International, antara Datuk Seri Najib lawan Pendakwa Raya.

Dalam ulasan yang diberikan, beliau memberi ulasan secara tersurat dan tersirat membawa maksud rayuan itu dihakimi secara tidak adil oleh panel Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara.

“Perkataan diucapkan oleh responden dalam temu bual itu secara keseluruhannya mengandungi risiko yang nyata, yang boleh menggugat keyakinan orang awam ke atas Badan Kehakiman dan terjumlah kepada gangguan ke atas pentadbiran keadilan.

“Tindakan responden yang disebutkan mengaibkan Badan Kehakiman dan justeru, ia adalah campur tangan dalam pentadbiran keadilan serta suatu penghinaan yang serius,” dakwanya.

Dalam prosiding permohonan itu yang dijalankan secara ex-parte (secara sebelah pihak), semalam, Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan supaya ia didengar oleh hakim lain yang akan ditetapkan kemudian.

Related posts

Leave a Comment