PUTRAJAYA 6 Jan. – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mencabar penyebar fitnah menerusi aplikasi WhatsApp dengan menuduh beliau minum arak dan memakan daging babi di pejabat, tampil bersemuka dengannya.
Menerusi kenyataan di Facebook, King Sing memberi tempoh dua minggu dan tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan fitnah seperti itu tidak berlanjutan dan berulang pada masa depan.
Beliau turut meminta pihak membuat tuduhan terbabit agar mendedahkan identiti mereka jika perkara itu benar.
“Tuduhan yang tidak berasas seperti ini mesti dikutuk sekeras-kerasnya. Saya selalu menghormati semua kumpulan etnik dan agama yang ada di Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
“Apa yang jelas, mereka yang sengaja memburukkan nama saya berhubung perkara ini dilihat cuba mencetuskan ketegangan kaum,” katanya mengulas dakwaan yang tular baru-baru ini.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Sarawak itu, MOTAC di Putrajaya tidak menghidangkan makanan dan minuman seperti yang didakwa.
Dalam kenyataan itu, beliau turut meminta pihak membuat tuduhan terbabit agar mendedahkan identiti mereka jika perkara itu benar.
Melalui WhatsApp yang tular itu, pihak yang membuat dakwaan itu mengaku sebagai mantan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan pernah berkhidmat dengan empat Menteri Kesihatan.
“Saya tidak tahu siapa yang (sebenarnya) sebarkan khabar angin ini. Sejak saya memegang jawatan, saya akui saya mungkin ada menyinggung perasaan beberapa orang yang mempunyai kepentingan diri dalam perkhidmatan awam atau industri kerana tidak mahu melakukan reformasi dalam aspek tertentu.
“Tetapi saya tidak takut kerana yakin apa yang saya lakukan itu betul dan demi kepentingan negara serta rakyat walaupun terpaksa menyinggung perasaan orang lain,” katanya.
