Pegawai kanan polis dituduh membunuh

IPOH 18 Dis. – Pegawai kanan polis yang terbabit dalam kes kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima pada Jumaat lalu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.

Pertuduhan ke atas Mohd Nazri Abdul Razak, 44, pegawai bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berpangkat Deputi Superintenden, dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh tiba di mahkamah dengan tangannya digari dari belakang, mengenakan baju T warna putih berseluar hitam memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, S Punitha.

Pertuduhan dikendalikan oleh sepasukan lapan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi; Khairul Azreem Mamat; Afzainizam Abdul Aziz; Saiful Akmal Mod Said; Nasrul Hadi Abdul Ghani; J S Geetha; Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, di sini, antara jam 12.05 tengahari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.

Kesalahan itu memperuntuk hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong dari TY Teh & Partners.

Keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 48; turut berada dalam kamar mahkamah sama ketika pertuduhan dibacakan ke atas Mohd Nazri.

Tiada jaminan ditawarkan. Azlina memohon tarikh 7 Februari 2024 bagi sebutan semula kes sementara menunggu beberapa laporan termasuk laporan kimia tertuduh.

Mahkamah membenarkan tarikh 7 Februari itu bagi kes disebut semula.

Nnn

 

 

Related posts

Leave a Comment