SEPANG 18 Dis. – Kumpulan pertama 71 pendidik dan keluarga berlepas ke Tanah Suci Makkah malam tadi menerusi kerjasama strategik antara Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).
Melalui kerjasama itu, Andalusia menawarkan pakej istimewa musim cuti sekolah pada harga sekitar RM8,652 (mengikut jenis bilik) berbanding harga biasa yang ditawarkan iaitu melebihi RM10,000.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang yang mengetuai kumpulan pertama itu berharap dapat menawarkan pakej sama pada musim cuti awal Januari 2025.
Malahan Pengerusi Eksekutif Andalusia,
Md. Daud Che Ngah berkata pihaknya merancang untuk menyewa sebuah pesawat dan membawa ahli- ahli NUTP untuk mengerjakan ibadah umrah.
Md. Daud ketika ditemui pada majlis penghantaran kumpulan pertama NUTP itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan kesatuan pekerja seperti NUTP bagi mendapatkan harga istimewa.
“NUTP mempunyai kira-kira 243,000 ahli dan 180,000 orang daripadanya beragama Islam. Jika mereka sertai kita, ahli kesatuan itu boleh merancang memilih tarikh dimahukan mengikut perjanjian dan pergi secara berkumpulan, seterusnya mudah untuk dikawal.
“Kita akan bagi hotel terbaik selain memberi jaminan layanan serta makan dan minum adalah bagus. Kita mungkin tidak berikan hotel empat atau lima bintang, tetapi hotel tiga bintang yang bagus selain menawarkan menu makanan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang turut menyeru golongan pendidik menyertai pakej umrah yang dijalankan bersama Andalusia selepas pihaknya merancang mengadakan siri kedua pada Januari 2025.
“Siri berikutnya program ini kita jangkakan pada Januari 2025 selepas meneliti takwin persekolahan yang mana cuti sekolah ketika itu lebih panjang. Melalui pakej ini, kita dapat harga lebih murah,” katanya.
Kadar yang ditawarkan sekitar RM8,000 bergantung kepada jenis bilik dan ia disifatkan murah berbanding pakej luar yang lain yang menawarkan sehingga RM10,000.
Nnn
Foto:
AMINUDDIN Awang (tengah) bersama sebahagian anggota keluara NUTP sebelum berlepas ke Jeddah malam tadi.
DAUD Che Ngah memberi taklimat ringkad kepada jemaah umrah termasuk kumpulan NUTP di KLIA semalam.
