PUTRAJAYA 7 Dis. – Tiada varian baharu Covid-19 dikesan di Malaysia sebaliknya ketika ini varian yang masih menular adalah Omicron dengan subvarian diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, tetapi tidak menyebabkan kes yang teruk.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, keadaan semasa Covid-19 di negara ini juga secara keseluruhannya masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada, meskipun terdapat peningkatan kes.
“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya melalui kenyataan mengenai situasi Covid-19 negara.
Dr Zaliha Mustafa berkata, terdapat peningkatan kes Covid-19 dilaporkan secara global dan peningkatan di Malaysia seiring trend berlaku pada setiap hujung tahun seperti juga dilaporkan di negara lain.
“Kebanyakan kes Covid-19 di Malaysia menunjukkan gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” katanya
Beliau juga menasihatkan orang ramai mengamalkan langkah penjagaan kendiri antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka bagi yang bergejala.
“Jumpa dengan doktor sekiranya gejala bertambah teruk dan mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat bagi individu positif Covid-19 dan berisiko tinggi.
Orang ramai juga boleh mendapatkan dos primer vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.
“Mereka juga diminta untuk tidak menyebarkan berita yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.
Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat cubaan untuk menyebarkan maklumat palsu yang pernah dipalang palsu oleh kementerian pada 1 November 2022 yang lalu.
Dalam satu kenyataan, orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi maklumat tersebut supaya tidak menimbulkan suasana panik serta menyeru agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.
“Maklumat yang palsu seumpama ini tidak memberi apa- apa kebaikan kepada kita semua memandangkan KKM sentiasa memaklumkan situasi semasa Covid-19,” kata kenyataan itu.
