PLKN 3.0 bermula 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diberitahu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak boleh dilaksanakan pada tahun depan sebaliknya hanya boleh bermula pada tahun 2025.

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan, berkata program itu tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan dalam Belanjawan 2024 dan pada masa sama 13 Kem Wataniah, lokasi program PLKN itu.perlu dinaik taraf.

Bagi perincian mekanisme pelaksanaan PLKN, ia hanya diketahui selepas kementerian merangkanya bersama pemegang taruh, terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

“Sebelum kita memuktamadkan program berkenaan ia perlu mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk menghidup atau meneruskannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan bagi Kementerian Pertahanan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Jemaah Menteri bersetuju memperkenalkan semula pelaksanaan PLKN yang dimansuhkan pada 2018.

Mohamad berkata, PLKN akan diadakan dalam dua fasa yang mana Fasa Satu membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Namun, pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalani latihan di Fasa Satu bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan menyertai Fasa Dua di kem latihan tentera wataniah sedia ada.

Related posts

Leave a Comment