Had umur belia 30 tahun mulai 2026

KUALA LUMPUR 23 Nov. – : Mulai 1 Januari 2026, had umur belia diturunkan kepada 30 berbanding 40 tahun ketika ini selaras dengan tarikh kuat kuasa Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia adalah 18 hingga 30 tahun dan tempoh ketua pertubuhan belia dihadkan selama empat tahun sahaja.

Katanya penetapan tarikh itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

“Oleh itu kerajaan telah bersetuju dengan tarikh kuat kuasa berkenaan, warta penetapan tarikh mula kuat kuasa telah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 November 2023.

“Susulan daripada pewartaan ini adalah penting bagi KBS melakukan pemakluman pada hari ini kerana semua pihak berkepentingan berkaitan belia perlu cakna akan penguatkuasaan pindaan tersebut, khususnya berkaitan had umur belia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras di sini, hari ini.

Pada masa sama, Hannah menekankan penurunan had umur berkenaan sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.

“Sebagai contoh Indonesia 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun, Australia 12-24 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata satu Jawatankuasa Bersama diketuai timbalannya Adam Adli Abd Halim ditubuhkan bagi membincangkan program-program transisi serta strategi untuk memperkasa kepimpinan dan meningkatkan keahlian pertubuhan belia daripada golongan belia yang lebih muda.

Katanya satu kerangka pelan transisi akan disediakan secara perundingan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan pada suku pertama 2024 untuk melancarkan proses transisi itu.

Hannah juga mengumumkan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan pemberian bantuan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada MBM dan badan gabungan tertakluk kepada Akta 668 bagi mengukuhkan tadbir urus dan pengoperasian pertubuhan belia.

Related posts

Leave a Comment