Mohon tambahan 500,00 tan beras India

PUTRAJAYA 27 Mac – Malaysia berhasrat mengemukakan peruntukan tambahan untuk mengeksport 500,000 tan metrik beras putih dari negara India , kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Katanya, permohonan secara rasmi kepada kerajaan India itu, akan dibuat menerusi saluran diplomatik tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India Dr S Jaishankar ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Dalam pertemuan sebentar tadi, saya turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan khas kerajaan India mengeksport 170,000 tan metrik beras putih ke Malaysia,” katanya.

Pada 18 Oktober 2023, kerajaan India dilaporkan telah meluluskan pengeksportan 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia, sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.

Mohamad yang turut menghadiri sesi perbincangan antara Jaishankar bersama Anwar berkata Malaysia juga mengemukakan permohonan rasmi kepada India pada awal tahun ini, bagi mendapatkan peruntukan eksport khas sebanyak 100,000 tan metrik bawang, melalui pengaturan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Beliau berkata Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang baik dengan India dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan.

Mohamad  berharap hubungan antara kedua-dua negara dapat mencapai tahap yang lebih tinggi dan meluas pada masa hadapan.

Related posts

Leave a Comment