PUTRAJAYA 23 Nov. – penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular tidak bertentangan Perkara 152(1), malahan penggunaan bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah jenis kebangsaan (SJK) dilindungi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mencabar keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah terbabit.
Panel dipengerusikan Hakim Datuk Supang Lian bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan.
Empat NGO terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).
Dalam penghakiman yang dibacakan Azizul Azmi, panel sebulat suara mendapati penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular tidak bertentangan Perkara 152(1), yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.
Mereka juga mendapati, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat dapatan yang betul ketika memutuskan Perkara 152(1)(b) melindungi penggunaan bahasa Tamil dan Mandarin di SJK sebagai bahasa pengantar.
Menurut Perkara 152(1)(b), tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.
Azizul Azmi berkata, panel menimbangkan bahawa peruntukan itu mempunyai kesan “melestarikan” penggunaan bahasa lain ketika perisytiharan kemerdekaan, berdasarkan perkataan “memelihara dan meneruskan.”
Beliau berkata, apabila dipastikan sesuatu bahasa sudah digunakan sebelum merdeka, tiada apa pun dalam peruntukan itu harus dibaca sebagai mengehadkan hak kerajaan untuk memelihara penggunaannya dan mengambil langkah untuk mengekalkannya (secara berterusan).
Katanya, jika diterima bahawa penggunaan bahasa, selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sudah wujud sebelum merdeka, maka kerajaan, melalui proviso (b), mempunyai hak untuk memelihara dan mengekalkan penggunaannya.
Katanya, hak itu mengatasi larangan dalam proviso (a), dengan syarat hanya bahasa Melayu menjadi bahasa yang digunakan untuk tujuan rasmi.
“Ia tidak boleh dihujahkan bahawa penggubal perlembagaan berhasrat supaya sekolah yang menggunakan bahasa selain bahasa Melayu atau Inggeris sebagai bahasa pengantar, menyalahi undang-undang dan bertentangan syarat perlembagaan.
“Kerana jika ini berlaku, sekolah berkenaan akan ditutup, dimansuhkan atau ditukarkan apabila Perlembagaan diterima pakai…seperti dijelaskan, tidak dipertikaikan bahawa sekolah yang menggunakan bahasa Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar sudah wujud sebelum merdeka dan Perlembagaan diterima pakai.
“Jika kewujudan sekolah vernakular tidak bertentangan Perlembagaan ketika penerimaan (Perlembagaan Persekutuan), satu-satunya hujahan lain yang boleh difikirkan adalah bahawa sekolah berkenaan tidak berperlembagaan berdasarkan pindaan kepada Perkara 152(6) pada tahun 1971,” katanya.
Azizul Azmi berkata, panel bagaimanapun berpandangan bahawa hujahan itu juga tidak boleh dipertahankan, kerana tiada apa-apa dalam rekod prosiding Parlimen yang menunjukkan bahawa Parlimen berhasrat supaya pindaan itu memberi kesan buruk terhadap kesahihan atau keperlembagaan sekolah vernakular.
“Kami membuat kesimpulan bahawa, bukan sahaja penubuhan dan penyelenggaraan SJK tidak bertentangan Perkara 152(1), tetapi juga penggunaan bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah berkenaan adalah tertakluk kepada perlindungan yang diberikan di bawah perkara 152(1)(b),” katanya.
