Warga dewasa Singapura terima bayaran tunai

SINGAPURA : Warga dewasa Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2024, akan menerima antara $200 (RM692) dan $800 (RM2,768) pada Disember 2023 di bawah Pakej Jaminan pemerintah bagi mengurangkan kesan kos sara hidup.

Menurut Kementerian Kewangan (MoH) semalam, tanpa mengambil kira jumlah hartanah yang dimiliki, mereka layak menerima wang tersebut.

Dalam kalangan sekitar 2.9 juta warga Singapura itu, kira-kira 2.5 juta orang akan menerima bayaran tambahan sehingga $200 (RM692) iaitu bagi warga yang meraih pendapatan dinilai bagi tahun penilaian 2022 sehingga $100,000 (RM346,043).

Bayaran tunai itu sebahagian daripada beberapa langkah – termasuk tokokan MediSave dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) – di bawah Pakej Jaminan itu.

Ia diterapkan bagi mengurangi kesan inflasi serta kenaikan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi semua warga Singapura.

Pada 28 September lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong, mengumumkan, bahawa satu pakej sokongan kos sara hidup tambahan bernilai $1.1 bilion (RM3.8 bilion) akan disediakan.

Ia bermatlamat menawarkan lebih banyak sokongan kepada isi rumah, terutama keluarga berpendapatan rendah hingga pertengahan.

Ini termasuk tambahan lagi $800 juta kepada Pakej Jaminan itu, yang menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tersebut mencecah lebih $10 bilion.

Selain bayaran tersebut pada Disember, warga Singapura juga bakal menerima beberapa bantuan lain dari pemerintah mulai awal 2024.

Antara lain, setiap isi rumah rakyat Singapura akan menerima baucar CDC bernilai $500 pada Januari yang boleh didapatkan menerusi laman go.gov.sg/cdcv mulai 3 Januari 2024.

Baucar itu boleh ditebus pada bila-bila masa sebelum tarikh tamatnya pada hujung 2024.

Related posts

Leave a Comment