KUALA LUMPUR 7 Nov. – Bersatu menggantung keahlian Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman selama enam tahun termasuk kesemua jawatan yang disandangnya dalam parti, berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata keputusan dibuat Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada hari ini.
Dalam kenyataannya malam ini, Hamzah berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan pelanggaran disiplin dan perlembagaan oleh Suhaili yang juga Ketua Bahagian Bersatu Labuan dan Wilayah Persekutuan.
Suhaili sebelum ini mengisytiharkan menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media Suhaili bertarikh 30 Oktober 2023, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawah Fasa 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian Suhaili.
“Ia berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman iaitu 7 November 2023 (hari ini) ,” katanya.
Suhaili memutuskan untuk menyokong Perdana Menteri selepas mengambil kira semua permasalahan penduduk Labuan yang berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan elektrik yang berterusan.
Pada masa sama, Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Mohd Noor.
Untuk rekod m sebekum , Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, turut digantung selama empat tahun kerana menyokong Kerajaan Perpaduan.
