KUALA LUMPUR 3 Nov. – Hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 jika ia dilaksanakan pada tahun hadapan, 2024.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataannya, berkata kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah baharu selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0. Sebagai contoh sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut.
“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan. Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga berusia 35 tahun.
“MINDEF turut berharap penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN3.0,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ada pihak membuat ciapan dengan mendakwa peserta yang akan dipilih menyertai PLKN untuk fasa baharu adalah individu dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun.
Terdahulu, dilaporkan pelaksanaan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018 akan dilaksanakan membabitkan dua fasa.
Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.
Manakala pelajar Tingkatan Lima yang dikecualikan untuk menjalankan latihan di Fasa 1 bagi memberi laluan kepada mereka melakukan persediaan menempuhi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula, akan menyertai Fasa 2 di kem latihan Askar Wataniah sedia ada.
