PASIR MAS 3 Nov. – Jawatan Timbalan Presiden Amanah yang kosong berikutan kematian Salahuddin Ayub, pada Julai lalu akan diisi melalui pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah bagi penggal 2023-2026 pada Disember ini.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, mesyuarat agung parti baru bermula dan pihaknya tidak boleh membuat sebarang jangkaan mahupun spekulasi tentang siapa calon yang akan menggantikan Allahyarham Salahuddin.
Sistem pemilihan jawatan dalam Amanah agak berlainan dengan parti yang lain kerana tidak bertanding untuk satu jawatan sebaliknya bertanding bagi pemilihan 27 calon di peringkat nasional.
Kesemua calon yang terpilih akan terbabit dengan mesyuarat bagi menentukan siapa yang paling layak untuk memegang sebarang jawatan seperti presiden, timbalan naib presiden serta setiausaha.
“Apabila senarai sudah diperoleh barulah kita boleh membuat jangkaan, namun kesemuanya juga bergantung kepada keputusan pemilihan,” katanya selepas Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Pasir Mas di Dewan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Tendong, di sini, hari ini.
Mahfuz berharap pemilihan parti pada Disember akan berlangsung dalam suasana kekeluargaan yang mana yang kalah jangan disisihkan serta bersama yang menang untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, meninggal dunia pada 23 Julai lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah, selepas mengalami pendarahan otak.
Sehingga kini jawatan menteri di Kementerian berkenaan belum diisi manakala untuk kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang diwakili Allahyarham diisi melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 September lalu.
Nnn
