Simpanan SSPN deposit RM15.94 bilion

KUALA LUMPUR 29 Okt. –  Setakat September lalu, Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dikendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima deposit RM15.94 bilion dengan 6.11 juta akaun.

Pengerusi PTPTN,  Norliza Abdul Rahim, berkata pihaknya komited untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 dan sambutan Hari Tabungan Sedunia di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

BMS 2023 yang bertemakan “Robotik : Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan”, buat julung kalinya dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia sepanjang bulan Oktober 2023.

Menurut Norliza, tema Robotik amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini.

Ia selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Norliza berkata, misi utama PTPTN ialah memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman serta memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian.

Katanya, Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

BMS SSPN merupakan program anjuran PTPTN yang dilaksanakan sejak 2018 sebagai usaha untuk menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.

(Foto fb cep ptptn)

Related posts

Leave a Comment