SHAH ALAM 22 Okt. – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli dan barisan kepemimpinan Pas supaya menyelesaikan sebarang kelemahan kerajaan negeri yang dikuasai secara dalaman bukannya mendedahkan ibarat menebuk kapal sendiri.
Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan pemimpin cawangan dan kawasan membantu wakil rakyat yang menang dan kawasan di mana wakil rakyat yang lemah atauntidak mampu bagi meneruskan kesinambungan kerajaan yang diperintah.
“Kalau ada kelemahan jangan menumpang untuk menjatuhkan kerajaan (di empat negeri ditadbir Pas), jangan tebuk bahtera, tidak boleh.
“Ada kalangan ahli parti yang jadi penebuk kapal… ini tidak boleh, jangan… kita kena bertahan, parti kita yang memerintah, sebarang kelemahan kita tolong, jangan dedahkan kelemahan itu,” katanya pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-69, di sini hari ini.
Pas ketika ini Pas menguasai pentadbiran di empat negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.
Dalam pada itu, Pas katanya tidak akan menjadi seperti Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bersifat zalim dan memutarbelit kezaliman selepas menjadi kerajaan.
Pas sudah berulang kali ditindas dan dizalimi namun parti itu tetap bersabar dan menganggap segalanya sebagai “pendidikan dalam perjuangan”.
“Kita mesti buktikan di negeri yang kita perintah bahawa kita mahu menjadi kerajaan yang adil kepada semua rakyat, sama ada kepada mereka yang menyokong atau membangkang.
“Bila kita jadi kerajaan, kita jangan buat zalim jangan balas dendam. Ini diajar Islam dan diajar Nabi, kita sabar, anggaplah itu pendidikan dalam perjuangan.
“Jangan jadi macam PH bawa naratif putar belit kezaliman, mereka tidak nampak mereka zalim padahal mereka zalim, tapi uar-uar bawa keadilan tatakelola, baik dan sebagainya tapi tak buat,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi mencabar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabar undang-undang syariah, fatwa, Nabi, Raja yang menjadi ketua agama dan umat Islam.
Abdul Hadi berkata, semua tindakan itu ialah isu 3R sebenar yang perlu diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan.
“Tetapi sekarang ini ada yang cabar undang-undang Islam, Allah, Nabi kita, mencabar umat Melayu Islam, Raja, ini tak boleh dibiarkan, kita wajib bangkit menentang.
“Inilah 3R yang sebenar yang tidak boleh dicabar. Kita akan bertindak kepada mereka yang mencabar perkara ini, bagaimana kita nak bertindak tunggu dan lihat,” katanya.
Beliau berkata, Pas pernah menggerakkan himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan tidak mustahil mengulanginya.
