Pas amalkan demokrasi paling hebat

SHAH ALAM 22 Okt. –  Pas adalah parti yang mengamalkan demokrasi paling hebat dengan memberikan ruang dan peluang kepada akar umbi di kawasan bagi menentukan kepemimpinan di peringkat pusat.

Setiausaha Agungnya,  Takiyuddin Hassan berkata, ada yang menyatakan Pas tidak mengamalkan demokrasi ekoran tiada pertandingan bagi menentukan jawatan tinggi bukan sahaja di pusat namun di dewan di peringkat pusat.

“Namun kita ingin maklumkan di luar sana bahawa amalan demokrasi paling hebat, dilaksanakan Pas dengan memberikan seluasnya peluang dan ruang kepada kawasan untuk menentukan kepimpinan di peringkat pusat sendiri.

Kita arahkan semua kawasan untuk membuat pencalonan dengan syarat tertentu dan pencalonan yang diterima bukan sedikit tetapi akhirnya (calon) bersedia menyahut seruan untuk dicalonkan dan dipilih sebagaimana disenaraikan,” katanya semasa sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-69, di sini hari ini.

Lima kepemimpinan tertinggi Pas sedia ada termasuk Presidennya, Abdul Hadi Awang, mengekalkan kedudukan masing-masing bagi sesi 2023 hingga 2025, selepas diumumkan menang tanpa bertanding, pada Muktamar Tahunan PAS ke-69, di sini hari ini.

Turut diumumkan menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan tiga lagi pemimpin Naib Presiden iaitu,  Idris Ahmad,  Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata, Dewan Muslimat Pas dan Dewan Ulama Pas turut menyaksikan tiada pertandingan, berdasarkan keputusan akar umbi.

Namun beliau berkata, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menyaksikan pertandingan apabila daripada 22 calon yang dipertandingkan, 18 berjaya menyertai senarai kepimpinan terbabit.

“Inilah amalan demokrasi yang dilaksanakan sepenuhnya dalam parti Islam,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas akan menambah masing-masing dua lagi kawasan baharu parti itu di Sabah dan Sarawak menjelang tahun hadapan.

Beliau berkata, ia membabitkan kawasan Pas di Kota Marudu dan Kimanis di Sabah serta Sarikei dan Saratok di Sarawak.

“Daripada 222 Parlimen di seluruh negara, kita ada 197 kawasan dengan 165 di Semenanjung dan baki di Sabah serta Sarawak.

“Ada yang dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan kita berharap menjelang muktamar tahun hadapan, jumlah kawasan PAS melebihi 200 kawasan di seluruh negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment