KUALA LUMPUR 19 Okt. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengesahkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember ini, kata Presiden, Mukhriz Mahathir.
Beliau turut menafikan khabar angin kononnya bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan bertanding sebagai calon pada PRK Parlimen Kemaman.
“Kita tidak letak calon. Kami kini fokus untuk memperkukuh parti. Kita hendak bina kekuatan bagi menghadapi PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN), memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi, selepas memperoleh 65,714 undi, menewaskan Ahmad Said (BN-UMNO) yang memperoleh 38,535 undi.
Bagaimanapun, dua lagi calon yang bertanding ketika itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat 506 dan 8,340 undi.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata kerusi Parlimen Kemaman secara tradisinya milik Pas dan parti itu berhak meletakkan calon bertanding bagi mempertahankan kerusi disandangnya sejak PRU14.
“Bersatu tidak akan letakkan calon, sebaliknya kita serahkan kepada Pas meletakkan calon untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman,” katanya baru-baru ini.
