Palestin: Tubuh Tentera Penyelamat OIC

SEPANG : Putra mendesak supaya ditubuhkan Tentera Penyelamat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seterusnya memasuki Gaza bagi menyelamatkan rakyat Palestin dari terus menjadi mangsa pengeboman dan senjata kimia Zionis Israel.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, kerajaan Malaysia boleh menggerakkan usaha itu dengan menghantar notis kepada OIC supaya mengadakan Sidang Tergempar dan membawa usul menubuhkan pasukan tentera berkenaan.

“Setiap anggota OIC boleh menghantar 1,000 orang tentera dengan aset-aset yang difikirkan perlu untuk menyelamatkan rakyat Palestin dan mempertahankan diri dari apa jua serangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan Tentera OIC bukanlah bertujuan untuk berperang dengan Zionis Israel atau sekutunya, tetapi untuk menyelamatkan rakyat dan bumi Palestin.

Ibrahim berkata, kekejaman Zionis Israel berterusan dan makin mengganas sehingga sanggup mengebom Hospital Al Shifa di Gaza menyebabkan lebih 500 orang awam terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

“Apakah pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin tidak boleh dihentikan segera? Di manakah maruah negara-negara OIC yang masih gagal melakukan sebarang tindakan berkesan?

Tidakkah mereka malu pada Allah dan lebih takut kepada Zionis Israel, Amerika dan sekutunya daripada takut kepada Allah?

Zionis Israel berani mengganas kerana mendapat sokongan padu dari Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu Barat. Negara-negara itu dipimpin oleh Dajjal-dajjal yang tidak berotak, tidak berhati perut, tanpa peri kemanusiaan,” tegasnya.

Ibrahim berkata, rakyat di seluruh dunia sudah berdemonstrasi membantah, meluah kecaman dan kutukan tetapi semuanya itu tidak dipedulikan oleh Israel serta Amerika Syarikat manakala Rusia dan China sekadar bersuara tanpa tindakan.

Begitu juga Iran masih teragak-agak untuk melakukan tindakan tegas bagi membantu rakyat dan bumi Palestin.

“Gerila Vietcong di Vietnam mampu mengalahkan tentera Amerika. Ingatlah peristiwa perang Badar di zaman Rasullulah SAW. Kita tidak boleh berdoa semata-mata. Allah memberi peringatan agar berusaha, merancang dan melaksanakan tindakan dengan penuh yakin,” katanya.

Ibrahim juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan dirinya sebagai wira dan pemimpin yang berani ke hadapan, boleh menjadi jaguh bagi negara Islam, bukannya cuma harimau kertas atau pelakon politik.

“Pamerkan betapa anda benar-benar bertekad untuk menyelamatkan umat Palestin dan Masjid Al Aqsa. Buktikanlah mana satu yang benar dan ikhlaslah dengan kata-kata di bibir mulut bukan sekadar retorik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment