PUTRAJAYA 11 Okt. – Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi merancakkan lagi kerjasama dua hala dalam sektor pertanian, pelancongan, perdagangan, perniagaan termasuk halal serta keselamatan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Srettha Thavisin di sini hari ini.
Anwar berkata mesyuarat bilateral antara beliau dan Srettha, bersetuju kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan semula dalam tempoh sebulan bagi menilai dan melihat perkembangan pasukan petugas berkenaan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu, Anwar berkata, laporan berkaitan pasukan petugas itu perlu disiapkan dalam tempoh sebulan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.
“Ini amat jarang berlaku dalam perbincangan yang pragmatik apabila Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan beberapa pasukan petugas dalam sektor berkaitan.
“Saya yakin perkara ini mampu direalisasikan berdasarkan prestasi Srettha dalam bidang korporat dan keseriusannya yang praktikal, kami akan bertukar nota untuk memastikan ia boleh dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau amat berharap hubungan baik Malaysia dan Thailand berupaya meningkatkan lagi sektor perdagangan serta pelaburan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Dalam pada itu, mesyuarat terbabit turut membincangkan hasrat syarikat automobil, Geely dan Proton yang mahu membuka kilang kenderaan elektrik (EV) di Thailand.
Anwar berkata, beliau meminta syarikat berkenaan untuk berbincang dengan Perdana Menteri Thailand mengambil kira pengalaman luas negara berkenaan dalam industri terbabit.
Sementara itu, Srettha pada sidang media sama, menyambut baik hasrat itu dan sedia mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.
“Berhubung pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia ke Thailand, Anwar ada menyentuh mengenai Proton dan Geely mahu membina kilang EV di Thailand. Selepas ini kami akan berbincang mengenainya,” katanya.
Thailand juga berhasrat mendapatkan pengiktirafan sijil halal Malaysia bagi meningkatkan pengeluaran dan pemasaran produk makanannya ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Thailand adalah sebuah negara yang mempunyai keselamatan makanan selain dilengkapi dengan produk pertanian yang maju.
“Jadi, kami merasakan boleh meningkatkan produktiviti dalam sektor terbabit. Dengan pensijilan (halal) itu, kita boleh meluaskan pasaran produk halal (Thailand) ke seluruh dunia dan secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti,” katanya.
Srettha yang dalam rangka lawatan kerjanya selama dua hari berkata, perbincangan bersama Anwar turut menyentuh mengenai isu keselamatan membabitkan kedua-dua negara, terutama di selatan Thailand dan utara Malaysia.
Katanya, kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan perdagangan supaya kepesatannya dapat dinikmati rakyat di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, Thailand juga sedia memainkan peranan untuk meningkatkan jumlah kehadiran pelancong di kedua-dua negara memandangkan angkanya rendah ketika ini.
