SPR bincang PRK Kemaman 17 Oktober

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Dewan Rakyat telah menerima pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Kemaman daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Susulan itu, Johari dalam satu kenyataan, berkata, SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan berkenaan.

“Dimaklumkan bahawa saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah menerima surat bertarikh 11 Oktober 2023 daripada Pengerusi SPR yang memaklumkan telah berlaku kekosongan luar jangka bagi Parlimen Kemaman.

“Sehubungan dengan itu, pihak SPR akan mengadakan satu pilihan raya bagi mengisi kekosongan tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan,” katanya

Johari turut menjelaskan, ia selari dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Oktober lalu yang telah mengeluarkan Perakuan Hakim Pilihan Raya di bawah Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Ia mengisytiharkan bahawa pilihan raya umum bagi kawasan Parlimen P040 Kemaman pada 19 November 2022 adalah terbatal.

Bagaimanapun, katanya, pilihan raya diadakan semula kerana penyandang kawasan itu, Che Alias Hamid tidak mengemukakan rayuan sehingga tempoh rayuan berakhir pada 10 Oktober lalu, selaras dengan Seksyen 36A Akta 5 kepada pihak Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 17 Oktober ini bagi membincangkan persiapan melaksanakan PRK berkenan.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh   akan menentukan beberapa tarikh penting termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan.

Related posts

Leave a Comment