Tarik balik ‘posting’ dalam tempoh 24 jam

ALOR SETAR 11 Okt. – Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, memberi tempoh 24 jam kepada media massa dan pemilik akaun media sosial memadam ‘posting’ yang memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Kedah terlibat skandal beras tempatan bernilai RM100 juta.

“Dalam tempoh 24 jam, sekiranya posting itu tidak ditarik balik atau dipadam, kita akan arahkan pasukan peguam memburu semua pemilik akaun itu untuk kita ambil tindakan mahkamah,” katanya.

Arahan itu termasuk kepada akhbar-akhbar yang membuat laporan tergantung, memberi gambaran yang salah kepada orang ramai termasuk kepada wartawan-wartawan yang menulis berita itu dan syarikat akhbar yang menerbitkan berita itu.

“Kepada orang yang memanjang-manjangkan berita yang tidak benar itu supaya menjadi satu pengajaran kepada orang ramai,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Kelmarin media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan kepincangan dalam pengedaran beras negara selepas berjaya membongkar kegiatan penipuan pembekalan 28,000 tan beras bernilai RM100 juta di Kedah.

Difahamkan, kegiatan penipuan di Kedah itu terbongkar apabila SPRM mengesan berlaku aktiviti mencurigakan dan berunsur rasuah membabitkan satu syarikat yang mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Muhammad Sanusi mendakwa, sejak akhir-akhir ini berlaku kecenderungan apabila berlaku kegagalan di peringkat agensi Persekutuan atau kementerian, maka pihak terbabit akan mencari ‘kambing hitam’ untuk diletakkan kelemahan itu.

“Contohnya adalah laporan berkaitan dengan kawal selia beras. Bila berlaku ketidakcukupan beras tempatan di pasaran, berlaku kenaikan harga beras import mereka akan cari kambing hitam, siapa nak dipersalahkan.

“Oleh kerana kebanyakan padi dan beras ini ditanam di Kedah, mata orang ramai tertumpu di Kedah…seolah-olah Kedah ni gagal dalam kawal selia padi dan beras. Sebenarnya semua itu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.

Katanya, laporan yang dikeluarkan media-media tertentu mengenai anak syarikat kerajaan negeri kononnya terdapat penipuan kontrak beras tempatan bernilai RM100 juta dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat tanpa penjelasan yang sewajarnya.

Muhammad Sanusi mendakwa laporan itu tergantung seolah-olah peristiwa itu berlaku kelmarin, padahal ia berlaku pada tahun 2016.

Menurut Sanusi, pada tahun berkenaan, beliau memang memikul beras tetapi di kem pelarian kerana terlibat dengan misi kemanusiaan di kawasan bencana.

“Saya pun tak jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri ) lagi pun. Jadi bila lontaran itu dikeluarkan atas kehendak siapa? Saya pun tak tahu, ghairahlah spekulasi dibina seolah-olah punca ketiadaan beras tempatan di Kedah ni punca dia Sanusi. Sorok beras kan, itu spekulasi yang cuba dibina oleh netizen ataupun cybertroopers.

“Saya pun akan bagi depa (mereka) ni popular atas petikan-petikan yang dibuat berdasarkan laporan itu… serbuan tak pakai ‘helmet’ (berlandaskan fakta) ini saya akan buat balasan kerana mereka memburukkan kerajaan negeri seolah-olah perkara itu disebabkan oleh kerajaan negeri maka beras tempatan tak dak.

Orang-orang yang tidak memakai helmet ketika membuat serbuan (hantaran dan perkongsian) di media sosial akan diburu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment