KUALA LUMPUR: Proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2023, perlu disegerakan susulan semakin ramai didakwa terkesan gejala berkaitan merokok dan e-rokok.
Dalam satu kenyataan, Hartal Doktor Kontrak berkata proses itu tidak wajar dibiarkan berlanjutan, selepas mengambil kira status kesihatan awam di negara ini yang dilihat terus merosot.
Menurut kenyataan itu, gejala merokok serta e-rokok menjadi norma dalam masyarakat dan meragut banyak nyawa, malah semakin ramai dibelenggu komplikasi berkaitan kedua-duanya yang memendekkan kualiti hidup serta produktiviti rakyat.
Hartal Doktor Kontrak sekali gus menuntut Ahli Parlimen dan pentadbiran Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menyegerakan proses penggubalan RUU terbabit supaya diluluskan pada peringkat Dewan Rakyat serta Dewan Negara, sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk diwartakan.
“Cukuplah dengan kerenah birokrasi yang terus melengahkan proses penggubalan RUU itu. Ingatlah, masa semakin suntuk. Setiap saat dilengahkan, semakin ramai terancam. Kami akan terus menyeru agar tiada lagi masa dibazirkan, demi Malaysia yang lebih sihat dan mapan!
“Penyakit berkaitan aktiviti merokok telah meragut hampir 20,000 nyawa setiap tahun. E-rokok kini sudah dinormalisasikan menjadi budaya yang mendekatkan mereka kepada aktiviti merokok secara halus.
“Berbilion duit rakyat terus dilaburkan untuk mengatasi komplikasi kesihatan berkaitan aktiviti merokok. Ini bukan saja satu bencana kesihatan tetapi juga ke atas sistem ekonomi negara!
“RUU itu sajalah harapan untuk melahirkan generasi lebih sihat, bermula dengan generasi 1 Januari 2007,” kata Hartal Doktor Kontrak.
