Polis serah dokumen kepada Interpol

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol), untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,  Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya menerima dokumen itu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

“Kita (polis) sudah menerima dokumen itu pada jam 3 petang tadi. Ia juga telah dimajukan kepada INTERPOL untuk tindakan lanjut mereka,” katanya kepada media, hari ini.

Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata SPRM sedang menyediakan beberapa dokumen diperlukan, termasuk draf pertuduhan kes, untuk diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah terhadap menantu Muhyiddin itu dan peguamnya.

Permohonan Notis Merah itu perlu dibuat melalui PDRM.

Ogos lalu, Azam dipetik berkata, SPRM akan memohon Notis Merah INTERPOL terhadap menantu Muhyiddin itu serta seorang lagi individu, bagi siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Related posts

Leave a Comment