4 langkah tambahan atasi isu beras putih tempatan

PUTRAJAYA 2 Okt. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan empat langkah intervensi tambahan termasuk Ops Bersepadu Beras Putih Tempatan (BPT) bagi mengatasi isu kekurangan BPT dalam pasaran sejak beberapa minggu lalu.

Menterinya,  Mohamad Sabu berkata, Pasukan Petugas Khas Ops Bersepadu BPT itu diketuai Timbalannya Chan Foon Hin yang akan memulakan operasi esok sekali gus meneliti kemungkinan berlaku manipulasi bekalan berkenaan.

Operasi melibatkan Badan Kawal Selia Padi & Beras KPKM; Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Melalui operasi ini, kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh rantaian industri termasuk semua kilang besar dan stor pemborong beras. Sampel beras akan diambil di semua kilang dan pemborong beras serta di pasar raya untuk dibuat analisis kimia,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras merangkap Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras KPKM, Azman Mahmood dan Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS), Shamsul Akbar Sulaiman dan Ketua Penolong Pengarah E5, Cawangan Khas, Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner  Zalena Mohd Ariffin.

Mohamad memberi amaran tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan aktiviti menukar kampit, mencampurkan BPT dan beras putih import (BPI) atau menyorok bekalan.

Langkah kedua, katanya, mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk meningkatkan pengedaran BPT ke luar bandar, termasuk ke kedai runcit.

“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi sekampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, semua perolehan pembekalan beras putih di bawah kontrak kerajaan akan menggunakan BPI dengan pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang), tertakluk kepada syarat dan peraturan ditetapkan.

“Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan beras putih tempatan. Sehubungan itu, kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan beras putih import,” katanya.

Mohamad berkata, kerajaan turut bersetuju memberi subsidi sebanyak RM950 setiap tan bagi bekalan BPI di Sabah dan Sarawak, mulai Khamis ini.

Menerusi kaedah itu, katanya, harga runcit BPI di kedua-dua negeri berkenaan akan menjadi RM31 bagi kampit 10kg dengan langkah terbabit diambil memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad.

“Semua langkah intervensi tambahan ini diputuskan selepas berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik, sebaliknya hanya membeli beras mengikut keperluan isi rumah sahaja.

“Sebenarnya jumlah beras yang berada di Malaysia tidak kurang, cuma harga beras import naik secara mendadak (susulan keputusan kerajaan India mengenakan larangan eksport beras),” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, perbincangan mengenai permintaan meningkatkan kuota import beras dari India akan dibuat bersama Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, BN Reddy, minggu ini.

“Anwar sudah menghubungi Perdana Menteri India, Narendra Modi. Perbincangan lanjut akan diadakan bersama Reddy,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, gangguan bekalan beras ketika ini berpunca akibat peralihan trend pembelian daripada BPI kepada BPT, susulan lonjakan harga BPI di peringkat global.

Related posts

Leave a Comment