Cacar monyet ‘serang’ Eropah

STOCKHOLM: Lebih 12 negara yang jarang merekodkan kes cacar monyet dengan kebanyakannya di Eropah, melaporkan mengesan sekurang-kurangnya satu kes cacar monyet, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).

Menurut laporan itu, ini adalah kali pertama rantaian jangkitan dilaporkan di Eropah tanpa hubungan epidemiologi yang diketahui dengan Barat atau Afrika Tengah, di mana penyakit ini adalah endemik.

United Kingdom yang jarang merekodkan kes cacar monyet mula mengesan wabak itu awal bulan ini, dan kini mencatat jumlah jangkitan terbesar dengan 71 kes, disusuli Sepanyol (59) dan Portugal (37).

Di luar Eropah, Kanada merekodkan 15 kes serta sembilan kes di Amerika Syarikat (AS), dengan jumlah kes keseluruhan setakat semalam meningkat lima kali ganda sejak mula dikira pada 20 Mei lalu yang ketika itu hanya mencatat 38 kes .

Jumlah jangkitan cacar monyet di seluruh dunia kini meningkat kepada 219 kes di negara yang mengkategorikannya sebagai endemik, menurut kemas kini agensi wabak Kesatuan Eropah (EU).

Awal minggu ini, ECDC memaklumkan risiko jangkitan wabak itu adalah amat rendah, namun memberi amaran individu yang menjalin hubungan seks dengan ramai pasangan tanpa mengira orientasi seksual adalah lebih berisiko.

Cacar monyet, wabak yang kurang serius berbanding cacar (small pox), dikategorikan sebagai endemik di 11 negara di Barat dan Afrika Tengah.

Di Madrid, Sepanyol akan membeli vaksin cacar monyet Imvanex keluaran syarikat Denmark, Bavarian Nordic, ketika jumlah jangkitan wabak di negara itu meningkat kepada 59 kes.

“Kami akan agihkan vaksin itu mengikut jumlah keperluan bagi setiap 17 wilayah di Sepanyol,” kata Menteri Kesihatan Sepanyol, Carolina Darias.

Related posts

Leave a Comment