Himpunan gesa siasat pihak hentikan dakwa Zahid

KUALA LUMPUR 16 Sept. – Polis digesa melakukan siasatan ke atas semua pihak yang dikatakan terbabit dalam proses menghentikan pendakwaan ke atas Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional,  Tun Faisal Ismail Aziz, berkata siasatan juga perli dilakukan ke atas Peguam Negara, bekas Peguam Negara, dan bekas Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang mengendalikan kes itu.

Ini kerana, katanya, wujud dakwaan berlaku salah guna kuasa ke atas pemberhentian pendakwaan ke atas Ahmad Zahid, menyebabkan Pengerusi Barisan Nasional itu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 4 September lalu.

Bercakap pada sidang media, bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya itu percaya berlaku manipulasi dari segi perundangan, eksekutif dan lain-lain dalam kes membabitkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Desa, sekali gus menimbulkan banyak keraguan.

Justeru, kita buat laporan polis supaya perkara ini disiasat dari awal, membabitkan semua pihak, bukan sahaja Ahmad Zahid, tetapi termasuk Peguam Negara yang lama dan baru, Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang dilucutkan daripada kes ini serta sesiapa sahaja dirasakan perlu.

Asasnya adalah melihat kepada keseluruhan kronologi kes pendakwaan ke atas Ahmad Zahid dari awal hingga beliau dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Tun Faisal Ismail bersama Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali dan empat lain tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, dekat sini.

Tun Faisal Ismail turut mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diasingkan daripada kuasa eksekutif.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Penganjur Himpunan Aman Selamatkan Malaysia juga menuntut supaya kerajaan memberikan keadilan sewajarnya kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Jangan kalau kes rakyat biasa mencuri RM20 dihukum penjara hingga 10 tahun, tetapi orang yang curi jutaan ringgit pula dilepaskan begitu sahaja. Tiga tuntutan ini dikemukakan bagi memperbetulkan semula ‘kerosakan’ di negara ini.

“Kita bergerak atas nama Himpunan Aman Selamatkan Malaysia. Ia adalah struktur besar membabitkan banyak pihak yang memperjuangkan rakyat bagi memperbetul keadaan yang kita rasa dari segi pentadbiran, tata kelola, penyalahgunaan kuasa agak nampak begitu mencolok mata,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Rafique mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penjelasan berhubung pemberhentian kes Ahmad Zahid di luar negara, baru-baru ini.

“Bagaimana Anwar dan timbalannya berdepan isu besar seperti ini boleh membuat kenyataan sebegitu berani di luar negara (bukan) di hadapan rakyat Malaysia.

“Laporan kita hari ini, turut mendesak supaya siasatan dilakukan ke atas SPRM, terutama pegawai penyiasat mereka yang juga terbabit dalam kes yang menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment