BAYAN LEPAS 16 Sept. – Parti Gerakan berhasrat mengusulkan penyertaan Muda dalam Perikatan Nasional (PN) pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang, kata Presidennya, Dr Dominic Lau.
Beliau berkata, aspirasi dan agenda yang dibawa Muda selari dengan PN yang antirasuah dan tidak wajar, dua wakil rakyat parti itu diminta melepaskan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang masing-masing.
“Pendirian Gerakan ialah kita mengalu-alukan Muda menyertai PN tetapi kita ada prosedur bahawa komponen parti atau pertubuhan yang ingin bersama-sama PN harus mendapatkan persetujuan dan melalui peringkat Majlis Tertinggi.
“Muda boleh bersama-sama dengan PN bukan sahaja di blok pembangkang, malah boleh dimasukkan sebagai komponen parti atau sekutu atau ‘Friends of PN kerana objektif kita sama iaitu antirasuah,” katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra sambil mengedarkan Jalur Gemilang, di Pasar Pagi Sungai Ara, di sini hari ini.
Ahad lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara rasmi mengumumkan keluar daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang sebagai kuasa ketiga sebagai protes keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.
Lau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, setakat ini belum ada perbincangan rasmi diadakan bersama Muda berhubung cadangan itu.
Beliau turut berpendapat keputusan Syed Saddiq sebagai petanda baik dalam menafikan majoriti dua pertiga Kerajaan Perpaduan ketika ini. sekali gus memperkukuhkan suara pembangkang di Parlimen.
