KLANG 9 Sept. – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan koc khas Transit Aliran Massa (MRT) untuk wanita dengan permulaan membabitkan laluan Kajang bulan depan, kata Menterinya, Anthony Loke.
Beliau berkata langkah itu berikutan pihaknya mengambil maklum mengenai kebimbangan dibangkitkan penumpang wanita dengan risiko gangguan seksual setiap kali berada dalam koc yang penuh sesak.
Ia juga mengambil kira kadar aduan diterima Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) berkaitan gangguan seksual dalam MRT yang semakin meningkat.
“Kami faham perasaan pengguna wanita…walaupun tiada desakan daripada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita akan sediakan koc wanita Laluan MRT Kajang sebagai percubaan dan diikuti laluan lain selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Wanita DAP 2023 di Grand Centrio Mall, di sini, hari ini.
Sebelum ini, perkhidmatan komuter KTM di Lembah Klang yang menghubungkan laluan KL Sentral ke Seremban, Pelabuhan Klang, Rawang, Batu Caves dan Tanjong Malim menyediakan koc khas untuk penumpang wanita.
Dalam pada itu, Loke mengakui isu gangguan seksual adalah masalah besar dalam sistem pengangkutan awam dan ia bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain termasuk Jepun.
“Ini (pengenalan koc khas untuk wanita) dilakukan untuk keselamatan dan keselesaan pengguna wanita dan saya mengambil tanggungjawab ini, walaupun saya lelaki dan ramai lelaki yang marah serta persoalkan perkara ini,” katanya.
