Setakat 2 petang 33% Pulai, 44% Simpang Jeram

JOHOR BAHRU 9 Sept. – Setakat pukul 2 petang, jumlah pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya kecil adalah 33 peratus di kawasan Parlimen Pulai dan 44 peratus di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding pukul 11 pagi ini, hanya 19 peratus pengundi direkodkan untuk Parlimen Pulai, manakala di Simpang Jeram 26 peratus.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 205,810 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hari ini.

Daripada jumlah itu, 165,509 pemilih adalah pengundi bagi Parlimen Pulai, sementara DUN Simpang Jeram membabitkan 40,301 pengundi.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh berkata, bilangan pengundi yang menunaikan tanggungjawab agak rendah berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Cuaca mendung dan hujan mengiringi proses pengundian di mana di Pulai, cuaca cerah pada sebelah pagi dilihat beransur mendung, begitu juga dengan keadaan di Simpang Jeram.

Bagaimanapun, katanya proses pengundian di kedua-dua PRK itu berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan berharap sasaran lebih 70 peratus keluar mengundi tercapai.

Terdapat sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran di Parlimen Pulai, manakala DUN Simpang Jeram pula sebanyak 14 pusat mengundi dengan 68 saluran.

(foto SPR)

Related posts

Leave a Comment