Tiada niat hukum ‘haram’ fatwa syarak

KUALA LUMPUR 6 Sept. –  Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tampil menjelaskan bahawa beliau hanya berkias apabila menyebut ‘saya bagi hukum haram’ memberikan undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat.

Katanya, tiada sebarang niat bahawa ianya adalah fatwa hukum syarak kerana sebagai seorang yang faham mengenai hukum-hakam agama, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama.

“Apatah lagi di negara kita terdapat badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama dan ilmuwan yang pakar dalam bidang berkaitan,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Sabtu lalu, Muhyiddin ketika ceramah di Pulai dikatakan mengeluarkan ‘fatwa’ haram mengundi Suhaizan dengan video mengenai ucapannya itu turut tular di media

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, ucapannya dalam ceramah semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai itu diambil secara luar konteks dan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.

Beliau menjelaskan, ketika ceramah berkenaan pelbagai isu disentuh olehnya membabitkan perkara dihadapi rakyat terutama sekali bebanan hidup yang gagal ditangani oleh kerajaan.

Rentetan itu, katanya, beliau menyeru pengundi di Parlimen berkenaan untuk tidak memberikan undi kepada calon PH.

Tindakan itu, katanya, sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” kata Muhyiddin.

Kenyataan Muhyiddin itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dari pihak lawan, termasuk pakar agama.

Ketua Polis Negara, Razaruddin Husain juga memaklumkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap kenyataan Muhyiddin itu.

Muhyiddin percaya hadirin yang mengikuti keseluruhan ucapannya semasa ceramah tersebut faham maksudnya.

“Berdasarkan respon hadirin pada malam itu saya yakin mereka tidak mengambil kenyataan saya secara serius sebagai suatu fatwa agama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment