Malaysia -Kemboja harap tingkat kerjasama

PHNOM PENH 27 Mac – Malaysia dan Kemboja berharap dapat meningkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kemboja berkata isu berkenaan dibincangkan dan menjadi antara keutamaan dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala di Istana Keamanan di sini, hari ini.

“Perbincangan adalah sangat terperinci dan menyeluruh…menyentuh isu-isu perdagangan dan pelaburan yang menjadi keutamaan dalam hubungan dua hala, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MoU berkenaan berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.

Mengenai industri halal, Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah menerajui sektor berkenaan dan ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk menggunakan kemudahan itu bagi menggalakkan dan memudahkan eksport ke negara Islam, khususnya di Asia Barat.

Anwar juga menyentuh mengenai kejayaan pengeluaran beras di Kemboja dan beliau akan menggalakkan syarikat beras Malaysia dalam memenuhi keperluan import beras supaya dapat mempertimbangkan pilihan mengimport beras dan kacang gajus dari Indochina.

“Perdana Menteri (Hun Sen) menyebut tentang kejayaan pengeluaran beras, yang patut dipuji walaupun anda kata ada lebihan… saya tahu sebenarnya pengeluaran beras bukan sesuatu yang mudah, tetapi anda berjaya meningkatkan produktiviti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment