MB diibarat pemandu sebuah bas

SEPANG 5 Sept. – Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tanggungjawab beliau ‘mengemudi’ negeri ibarat diamanahkan sebagai pemandu kepada sebuah bas.

Katanya, sebagai pemandu ada syarat dan peraturan jalan raya yang perlu dipatuhi, begitu juga dengan penumpang di mana destinasi yang dituju juga adalah dengan persetujuan bersama.

“Mengemudi negeri ini, ibarat saya diamanahkan menjadi pemandu kepada sebuah bas. Diminta menjadi pemandu bukanlah kerana sebab pandai memandu, tetapi atas sebab-sebab tertentu dengan izin Allah SWT.

“Jika nampak saya bawa laju atau terlalu perlahan, pasti ada penumpang yang mengeluh. Maka tanggungjawab penumpang juga untuk menasihati dan menyedarkan saya selaku pemandu.

“Apabila bas rosak di tengah jalan, bukan tugas pemandu untuk membaiki, mungkin ada di kalangan penumpang yang boleh membaiki. Setiap penumpang ada peranan masing-masing,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Dr Ahmad Samsuri dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Beliau berkata, banyak isu berkaitan pemerintah terutamanya bab amanah, disebut di dalam Kitab Riyadhus Solihin, di bawah tajuk khusus “Nasihat Kepada Pemerintah”

“Paling banyak nasihat ini adalah kepada pemerintah. Doakan saya dan seluruh kepimpinan agar sentiasa dipandu dan diberi kemudahan dalam tindakan,” katanya,

(Foto hiasan dari FB MB)

Related posts

Leave a Comment