Larangan import lembu Australia ditarik balik

PUTRAJAYA 6 Sept. – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menarik balik arahan penggantungan import lembu hidup dan kerbau dari Australia, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat hasil perkongsian laporan penuh siasatan oleh Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF), selepas dua sesi perbincangan teknikal bersama pihaknya.

Selain itu, katanya, hubungan baik antara JPV dan DAFF membolehkan perkongsian maklumat dijalankan secara telus dan terperinci.

“JPV ingin memaklumkan kepada pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia untuk mengemukakan surat permohonan import dari JPV, sebelum membuat permohonan permit.

“JPV juga ingin menegaskan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan diimport menjalani proses pemantauan rapi,” kata JPV dalam kenyataan, hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, JPV mengeluarkan arahan penggantungan sementara import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia berikutan laporan akhbar mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) oleh pihak berkuasa Indonesia pada lembu yang diimport negara itu dari Australia.

Tindakan penggantungan itu bersifat sementara dan diambil sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari Australia dengan nilai import sebanyak RM25,547,355.

Susulan penggantungan import tersebut, sesi libat urus antara JPV dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia telah diadakan pada 7 Ogos lepas.

Menurut JPV, pihaknya sentiasa memastikan semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan sektor ternakan dalam negara terjamin dan bebas daripada sebarang risiko penyakit.

(FOTO HIASAN)

Related posts

Leave a Comment