SHAH ALAM 30 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan seluruh rakyat tentang pentingnya menghayati erti sebenar kemerdekaan demi menyuburkan kembali semangat patriotisme, serta menyemai rasa cinta dan sayang dalam jiwa semua bangsa di Malaysia.
Baginda mahu rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, sekali gus ia dapat mengelak pihak tertentu menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh menggugat keamanan.
“Apabila sekalian rakyat menjulang erti sebenar hidup dalam suasana merdeka dan bersatu padu, maka tidak akan ada lagi mana-mana pihak atau kaum tergamak menyebarkan kebencian dan fitnah yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” titah baginda menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office.
Menerusi hantaran itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-66 kepada seluruh rakyat Selangor dan Malaysia.
Mengambil kira situasi semasa, baginda turut menyeru barisan kepemimpinan negara berusaha menjana kembali aspirasi ekonomi rakyat dengan melaksanakan semua keputusan perancangan pembangunan dengan cepat dan tepat.
Baginda mahu Malaysia kembali menjadi negara merdeka yang berdaya maju dan disegani di peringkat antarabangsa, khususnya dalam sektor pelaburan dan ekonomi.
