Fenomena air merah di Teluk Bahang

TANJONG 30 Ogos –  Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan kepekatan oksigen terlarut (DO) rendah di kawasan fenomena air merah di Teluk Bahang, sekali gus kawasan itu tidak mematuhi Kelas 2 Standard Kualiti Air Marin Malaysia (SKAMM) untuk melindungi sumber hidupan akuatik.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata pihaknya menerima aduan ikan mati dan tompokan berwarna merah di Teluk Bahang daripada orang awam melalui e-mel e-aduan pada 27 Ogos lalu.

Sejurus aduan diterima sepasukan anggota JAS pergi ke lapangan dan meninjau keabsahan aduan itu sebelum pemerhatian visual mendapati wujud tompokan berwarna merah yang biasa dikaitkan dengan fenomena ‘algae bloom’.

“Pada masa sama terdapat bangkai ikan terapung di permukaan laut yang lokasinya berhampiran kawasan ternakan ikan sangkar.

Beberapa persampelan dibuat dan dihantar ke Jabatan kimia untuk analisa lanjut sebelum ia menunjukkan terdapat DO sekitar 1.59 mg/L hingga 2.09 mg/L bagi kedalaman antara satu hingga empat meter,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS akan terus memantau kualiti air marin sekitar perairan Teluk Bahang susulan fenomena itu dengan kerjasama Jabatan Perikanan.

Katanya, melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar, terdapat dua stesen pengawasan kualiti air marin di sekitar kawasan Teluk Bahang yang mana kualiti air marin dipantau enam kali setahun.

“Berdasarkan data pengawasan diperoleh, status kualiti air marin untuk kedua-dua stesen berdekatan dengan Teluk Bahang tidak pernah merekodkan status tercemar, malah lazim berada pada status baik dan terbaik sebelum ini.

“Untuk rekod, kawasan Teluk Bahang adalah kawasan komuniti luar bandar dan kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan serta industri pelancongan.

“Sekitar kawasan ini tidak mempunyai punca pencemar tetap dari mana-mana industri. Kedua-dua loji pengolahan kumbahan berkapasiti 2500 PE dan 1680 PE di Teluk Bahang ketika ini mematuhi standard ditetapkan,” katanya.

Semalam, Pejabat Perikanan Pulau Pinang dalam satu kenyataan media berkata, kepadatan sel fitoplanton yang tinggi menyebabkan berlaku ledakan alga dan mengakibatkan kematian ikan di kawasan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan ribuan ikan mati di perairan Teluk Bahang susulan fenomena air merah yang melanda sejak Sabtu lalu.

JAS meminta orang ramai memberi kerjasama untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan https://eaduan.doe.gov.my

Sementara itu, keputusan awal analisis yang dijalankan Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung bagi mengenal pasti ‘air merah’  di perairan Teluk Bahang mendapati alga berkenaan adalah bukan toksin dan ia adalah spesies Noctiluca Scintillans serta tidak berbahaya kepada manusia.

“Kepadatan sel fitoplankton itu sangat tinggi iaitu satu hingga lima juta sel per liter yang mengesahkan berlaku ledakan alga di perairan itu, dan boleh menyebabkan kematian ikan terutamanya ikan dalam sangkar ekoran penurunan oksigen terlarut, dan alga juga telah meliputi insang dan menyebabkan ikan tidak mendapat oksigen,” menurut kenyataan Jabatan Perikanan..

Berdasarkan rekod pada tahun 2016, Noctiluca scintillans itu pernah menyebabkan ledakan yang menyebabkan air laut menjadi merah jambu di Kuala Gula, Perak 2016 dan menyebabkan ikan dalam sangkar mati.

Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang juga telah mencadangkan beberapa langkah mitigasi kepada penternak sangkar ikan di kawasan terlibat seperti menuai segera semua ikan yang bersaiz pasaran jika ada tanda-tanda ikan lemas atau mati.

Kenyataan itu berkata, penternak sangkar ikan juga disaran untuk mengurangkan kepadatan ikan dalam sangkar dengan memindahkan ikan ke sangkar lain dan memantau kandungan oksigen terlarut.

”Mereka juga perlu menambah pengudaraan kepada ikan untuk menyelamatkan ikan ternakan yang masih hidup bagi mengelakkan pertambahan kerugian,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan seorang dari enam penternak ikan di kawasan berkenaan iaitu Hing Moh Yok memberitahu kehadiran ‘air merah’ pada awal pagi Isnin, dan ‘air merah’ itu didapati sangat banyak dan mula pecah seterusnya hilang pada pukul 9.30 pagi.

Kejadian itu telah menyebabkan kematian ikan berterusan di kawasan berkenaan dan penternak mengganggarkan kerugian kasar yang dialami akibat kematian hampir 15 tan metrik ikan di sangkar ialah kira-kira RM500,000.

Related posts

Leave a Comment